Agenda Blog Ini


1. Menyumbang kepada perkembangan industri training dalam Bahasa Melayu.

2. Membantu trainer dalam Bahasa Melayu meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Item yang Wajib Dibekalkan kepada Trainer yang Dilantik Menyampaikan Modul


Empat item yang wajib disediakan apabila kita hendak melantik trainer-trainer lain bagi menyampaikan  modul latihan yang kita bangunkan:

1. Buku panduan untuk kegunaan trainer itu sepanjang dia menyampaikan sesi latihan -- instructor training guides.

Buku panduan ini dapat memastikan trainer itu menyampaikan kandungan modul pada standard kualiti yang betul. Tanpa buku ini trainer tidak tahu bagaimana modul itu sepatutnya disampaikan.

Kandungan buku ini juga wajib diajarkan kepada trainer itu, supaya dia mempunyai kemahiran menyampaikan modul kita.

2. Buku panduan untuk kegunaan peserta sepanjang dia menjalani latihan -- student training manuals.

Kandungan buku panduan ini penting diterangkan kepada peserta supaya mereka mendapat faedah maksimum dengan mengikuti modul kita.

3. Helaian rujukan pantas -- quick reference sheets

Kandungan helaian ini adalah ringkasan perkara-perkara paling pokok yang mesti diingat dan diamalkan oleh peserta.

4. Fail lembaran latihan -- exercise files.

------
Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Apa itu Modul Latihan?


Dalam bahasa orang biasa, modul adalah bahan-bahan yang wajib disediakan bagi menghasilkan modul-modul latihan. Bahan-bahan itu adalah:

1. Nota-nota yang diberikan kepada peserta training yang menerangkan perkara-perkara penting yang mesti mereka fahami dan tahu. Nota-nota ini berfungsi sebagai buku pegangan para peserta.

Bahan-bahan ini boleh disediakan dalam bentuk:

a. Lembaran nota
b. Buku kecil
c. Buku standard

2. Nota-nota bagi kegunaan para trainers yang berfungsi sebagai skrip formal yang diucapkan oleh trainers sepanjang mengendalikan training. Ertinya, kandungan nota ini perlu dihafal oleh trainers. Trainers tidak boleh bercakap terkeluar dari isi kandungan nota-nota ini.

3. Lembaran edaran yang diberikan kepada peserta bagi kegunaan semasa mereka berlatih.

4. Borang-borang, seperti borang latar belakang peserta, borang penilaian kursus dan lain-lain.

Item-item di atas itulah yang diserahkan kepada pengurus jabatan latihan bersama-sama dengan proposal program latihan. Pengurus jabatan latihan akan menilai sama ada modul yang kita tawarkan itu menepati keperluan organisasinya, dan siapa yang sesuai menghadiri sesi training itu.

------
Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.


Contoh Konten Modul

Inilah contoh tajuk konten kursus:

Tajuk kursus: "Kemahiran Mengurus"
Tempoh kursus: 2 hari
Peserta: Eksekutif yang akan dinaikkan pangkat menjadi pengurus pertengahan.

Modul 1: Permulaan kursus
Modul 2: Persediaan menjadi pengurus
Modul 3: Cara-cara mengukur prestasi orang bawahan
Modul 4: Sumber motivasi kerja dan kemahiran mendorong orang bawahan
Modul 5: Ciri-ciri kesan teknik pengurusan yang lemah
Modul 6: Teknik menurunkan kuasa dan memberi kepercayaan
Modul 7: Cara yang betul menerima komplen pekerja tentang ketua mereka dan rakan sekerja
Modul 8: Skill menjadi mentor dan coach kepada orang bawahan
Modul 9: Prosedur yang betul mengambil tindakan disiplin
Modul 10: Kualiti pengurus yang efektif
Modul 11: Penutup kursus

Contoh konten:

Modul 7: Cara yang betul menerima komplen pekerja tentang ketua mereka dan rakan sekerja
a. Rahsiakan semua maklumat.
b. Dapatkan maklumat lanjut dari kedua-dua belah pihak iaitu si pengadu dan pihak yang diadukan.
c. Beri jalan penyelesaian.
d. Beri coaching kepada kedua-dua pihak bagaimana cara melaksanakan jalan penyelesaian itu.
e. Turunkan kuasa bagi pelaksanaan penyelesaian itu.
f. Buat follow-up pelaksanaan penyelesaian.
g. Latihan dengan menggunakan kajian kes.
h. Soal-jawab

------
Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Kemahiran Men-desain Aktiviti


Objektif traning adalah memindahkan skill dari trainer kepada trainee. Proses pemindahan dilakukan dengan menggunakan aktiviti. Apabila trainee melakukan aktiviti itu, dia sedang mendapatkan skill yang dipelajari.

Contoh modul dan aktiviti:

Judul kursus: Komunikasi interpersonal

Topik modul: Bahasa persuasif

Konten modul: Bercakap dengan tidak menggunakan perkataan penegas maksud

Masa aktiviti: 40 minit

Metod: Trainer menerangkan apa yang dikatakan 'perkataan penegas maksud' dan memberi beberapa contoh. Kemudian trainer meminta peserta memberi contoh-contoh lain. (5 minit)

Aktiviti 1: Menulis teks ceramah agama yang mengajak hadirin berhenti mengumpat. (20 minit)

Penilaian aktiviti: 1. Trainer memeriksa teks ceramah yang dikarang oleh peserta dan ditandakan serta diberi markah. 2. Markah dipotong bagi setiap perkataan penegas maksud yang terdapat dalam ceramah.

Penutup: Soal-jawab. (15 minit)

Nota kaki: Nabi Muhammad bercakap dengan tidak menggunakan frasa berbentuk penegas maksud + sifat kata.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Jenis-Jenis Kursus Soft Skill yang Popular di Barat

Anger Management - Mengurus Kemarahan
Assertive and Self-Confidence - Tingkah Laku Asertif dan Yakin-Diri
Attention Management - Mengurus Perhatian
Body Language - Bahasa Badan
Business Ethics - Etika Bisnes
Business Etiquette - Etikuet Bisnes
Business Writing - Surat Bisnes
Change Management - Mengurus Perubahan
Civility In he Workplace - Adab Pergaulan di Tempat Kerja
Coaching and Mentoring - Kocing dan Mentoring
Communication Strategies - Strategi Komunikasi
Conflict Resolution - Peleraian Konflik
Creative Problem Solving - Menyelesaikan Masalah Secara Kreatif
Critical Thinking - Berfikir Kritis
Customer Service - Perkhidmatan Pelanggan
Emotional Intelligence - Kecerdasan Emosi
Employee Motivation - Memotivasi Pekerja
Employee Recruitment - Pengambilan Pekerja
Facilitation Skills - Kemahiran Fasilitasi
Generation Gap - Jurang Generasi
Human Resource Management - Pengurusan Sumber Manusia
Interpersonal Skills - Kemahiran Interpersonal
Knowledge Management - Pengurusan Pengetahuan
Leadership and Influence - Kepimpinan dan Pengaruh
Manager Management - Mengurus Pengurus
Middle Manager - Pengurus Pertengahan
Negotiation Skills - Kemahiran Berunding
Office Politics for Managers - Pengurus dan Politik Pejabat
Organisation Skills - Kemahiran Organisasi
Overcoming Sales Objections - Mengatasi Halangan Jualan
Performance Management - Mengurus Prestasi
Perentation Skills - Kemahiran Persembahan
Project Management - Mengurus Projek
Proposal Writing - Menulis Proposal
Public Speaking - Bercakap di Khalayak
Safety In the Workplace - Keselamatan di Tempat Kerja
Sales Fundamentals - Asas-Asas Jualan
Social Media In The Workplace - Media Sosial di Tempat Kerja
Stress Management - Mengurus Stress
Supervising Others - Menyelia Orang Lain
Talent Management - Mengurus Bakat
Teamwork and Teambuilding - Bekerja dalam Pasukan dan Membina Pasukan
Time Management - Mengurus Masa
Train-the-Trainer - Melatih Jurulatih
Work-Life Balance - Keseimbangan Hidup-Kerja
Workplace Diversity - Kepelbagaian di Tempat Kerja
Workplace Harassment - Kekasaran di Tempat Kerja
WorkplaceViolence - Keganasan di Tempat Kerja

------
Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Memulakan Karier Sebagai Trainer Komersial


Pada masa ini banyak lulusan universiti yang terus menceburi bisnes training dengan tidak bekerja dahulu dengan sektor kerajaan ataupun sektor swasta. Adakah ini langkah yang baik?

Training adalah bisnes yang menjual kepakaran. Justeru, tidak mungkin orang yang bukan pakar dapat menjadi trainer yang berjaya memberikan skill-skill kepada peserta sesi training yang dijalankannya.

Seseorang itu bertaraf pakar apabila dia mempunyai ilmu dan skill-skill. Jadi, pakar bedah adalah seorang yang memilik ilmu pengetahuan dalam bidang pembedahan dan dia berupaya melakukan kerja-kerja pembedahan dalam dewan bedah. Begitu pula pakar bidang public speaking adalah orang yang mempunyai pengetahuan berkenaan teknik-teknik persuasive speaking dan dapat pula berucap di hadapan khalayak menggunakan skrip ucapan yang persuasif.

Ilmu pengetahuan diperoleh melalui pendidikan formal ataupun melalui pembelajaran informal. Ilmu pengetahuan dalam bidang pembedahan hanya diperoleh melalui kursus peringkat universiti. Namun pengetahuan tentang persusive speaking dapat diperoleh melalui pembacaan dan pemerhatian dan pengalaman. Kepakaran adalah sill praktikal yang diperoleh dengan melakukan sesuatu pekerjaan berkali-kali dan dalam tempoh yang panjang.

Justeru, apabila seseorang itu menceburi bisnes training hanya dengan berbekalkan ijazah, hal itu adalah tidak cukup bagi survival dalam pasaran. Ijazah membekalkan ilmu, tetapi ijazah tidak membekalkan skill, sedangkan memindahkan skill adalah asas bisnes training.

Dengan bekerja dahulu dalam sektor kerajaan ataupun sektor swasta, barulah seseorang itu memperoleh skill-skill yang dapat diterjemahkan menjadi modul, dan akhirnya skill-skill itu diterjemahkan menjadi wang dalam bentuk yuran kursus yang dibayar oleh pelanggan.

Pengalaman kerja sangat diperlukan bagi membuktikan kredibiliti kita sebagai seorang trainer yang layak menyampaikan sesi training. Pelanggan mahu tahu latar belakang professional si trainer sebelum bersetuju membeli modul yang ditawarkan, yakni mereka mahu tahu siapa yang akan datang dan menjalankan sesi training.

Dalam sektor perkhidmatan awam, banyak jabatan mempunyai staf kaunter. Mereka memerlukan modul training bagi meningkatkan mutu perkhidmatan di kaunter. Hanya trainer yang mempunyai latar belakang dalam bidang perkhidmatan kaunter sahaja yang berpeluang menawarkan perkhidmatan training untuk staf kaunter.

Sebagai contoh, jabatan imigresen mempunyai banyak staf yang bertugas di kaunter. Jabatan itu juga mempunyai bajet training yang besar. Jika seseorang trainer mahu menawarkan modul latihan untuk staf perkhidmatan kaunter, pengurus jabatan latihan jabatan imigresen perlu tahu apa kelayakan trainer yang akan mengendalikan sesi training itu nanti. 

Jika si trainer hanya membaca buku-buku berkenaan perkhidmatan pelanggan, maka dia tidak layak mengendalikan sesi training perkhidmatan kaunter. Tanpa pengalaman, si trainer akan hilang kredibiliti di hadapan peserta kursus yang sudah mempunyai banyak pengalaman bertugas di kaunter.

Bagi seseorang yang mahu menceburi bisnes training, ada dua pilihan:

1. Tawarkan modul training berdasarkan kemahiran yang diperoleh dalam jawatan sekarang.

Pilihan ini paling sesuai untuk mereka yang sedia bertugas di mana-mana jabatan dalam sesebuah organisasi. Sebagai contoh, seseorang itu pernah bertugas sebagai pengurus gudang sebuah kilang pengeluar pelbagai sos dan kicap selama 15 tahun. Dia boleh menceburi bisnes training dengan menawarkan latihan dan perundingan dalam bidang pengurusan setor untuk pekilang-pekilang kecil.

Begitu juga, seseorang yang pernah bertugas lama sebagai pengurus showroom kereta boleh menawarkan modul latihan untuk staf yang bertugas di showroom kereta.

2. Pilih dahulu bidang training yang mahu diceburi dan dapatkan pengalaman bekerja dalam bidang itu.

Pilihan ini sesuai bagi orang muda yang memang ingin menjadi trainer. Sebagai contoh, seseorang itu mahu menjadi trainer bidang kejurujualan. Dia perlu bekerja sebagai jurujual untuk produk-produk yang khusus. Kemahiran menjual produk yang dibeli oleh pelanggan industri tidak sama dengan kemahiran menjual produk konsumer. Bagi memperoleh kepakaran seseorang itu sebaiknya sudah bekerja dalam bidang itu sekurang-kurangnya selama 10 tahun. Kemudian barulah dia keluar dan menceburkan diri sebagai trainer produk-produk dalam kategori itu.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Pasaran Kursus Motivasi




Ada dua jenis kursus motivasi:

1. Peserta diberi motivasi

Dalam kursus jenis ini peserta-peserta kursus diberi motivasi supaya mereka bersemangat menjadi orang yang lebih baik prestasinya. Di Malaysia, kursus motivasi jenis ini adalah kursus paling popular diadakan dalam sektor kerajaan. Lazimnya mereka yang dihantar menghadiri kursus motivasi jenis ini adalah pekerja yang bermasalah. Korporat-korporat multinasional tidak menjalankan kursus jenis ini.

Korporat-korporat multinasioal menjalankan kursus yang disebut 'attitude development' yang lazimnya diberikan kepada semua staf yang baru masuk bekerja. Tujuannya adalah supaya mereka mempunyai sikap-sikap yang sesuai dengan nilai-nilai budaya korporat.

2. Peserta belajar memberi motivasi

Dalam kursus jenis ini peserta-peserta kursus diberi pendedahan tentang teori-teori dan teknik-teknik bagaimana mereka dapat memberi motivasi kepada orang lain.

Kursus motivasi jenis ini amat popular di negara-negara maju. Di negara kita kursus jenis ini belum ada dalam pasaran. Ini adalah laut biru.

Dalam kursus jenis ini peserta belajar 4 teori motivasi di tempat kerja yang paling banyak diaplikasikan di korporat-korporat multinasional.

a. Teori Disonansi Kognitif
b. Teori Maslow tentang Hirarki Keperluan Manusia
c. Teori Gol
d. Teori Motivasi Pencapaian oleh McClelland

Empat teori di atas ada diterangkan dalam buku 11 Teori dan Prinsip Motivasi di Tempat Kerja.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Objektif Ceramah adalah Memberi Awareness, Objektif Training adalah Memberi Skill


Salah satu kekeliruan yang banyak berlaku dalam kalangan pemain baru dalam bisnes training adalah antara apa yang dikatakan 'sesi training' dan 'sesi ceramah'. Banyak pemain baru mengaku dirinya seorang trainer, tetapi dia lebih banyak berceramah daripada melatih.

Bercakap adalah kerja guru, ustaz, pensyarah dan penceramah. Kerja trainer adalah melatih.

Fungsi ceramah adalah memberi awareness atau kesedaran berkenaan perkara yang dijadikan topik ceramah. Sebagai contoh, topik ceramah adalah 'Mengapa Rotan Tidak Berkesan sebagai Alat Mendorong Perubahan Tingkah Laku'. Lalu penceramah bercakap bagi menerangkan fakor-faktor yang menyebabkan rotan tidak berkesan, dan mengapa ibu bapa perlu menggunakan alat-alat lain selain rotan, sebagai contoh menggantikan rotan dengan puji-pujian. Jadi, selesai mendengar ceramah itu para hadirin mempunyai kesadaran tentang rotan sebagai alat yang tidak berkesan.

Apakah itu awareness atau kesedaran? Ambil contoh ini: Kita tidak tahu apa yang disebut 'tarian samba'. Lalu kita dipertontonkan sebuah video tarian samba. Selepas menontonnya kita pun tahu apa itu tarian samba. Di sini kita sudah aware, sudah memiliki kesedaran apa yang dikatakan tarian samba.

Meskipun kita sudah tahu apa yang dikatakan tarian samba, kita tidak pandai menari samba. Ini kerana kita hanya memiliki awareness, kita belum memiliki skill menari samba.

Trainer bukan penceramah kerana fungsi training bukan memberi awareness atau kesedaran. Jadi, kerana fungsi training adalah memindahkan skill maka oleh itu trainer tidak boleh banyak bercakap. Trainer hanya bercakap 10% sahaja, manakala 90% peserta berlatih.

Latihan dijalankan dengan memindahkan skill-skill yang ada pada diri si trainer kepada para trainee. Ini dilakukan dengan cara memberi latihan demi latihan kepada peserta sesi training. Perkara yang dilatihkan itu adalah teknik-teknik yang betul melakukan sesuatu pekerjaaan sehingga para peserta memperoleh skill-skill itu.

Sebagai contoh, dalam sesi training di mana para peserta berlatih menulis prosposal modul training untuk pelanggan, trainernya adalah seorang yang memiliki skill menulis proposal training yang efektif, yakni proposal itu berjaya diterima oleh pelanggan. Si tariner sudah banyak kali menulis proposal, dan terbukti proposal-proposal yang ditulisnya itu berjaya dibeli oleh pelanggan.

Lalu dia menunjukkan prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang betul yang digunakannya apabila menuliskan proposal yang efektif. Kemudian peserta kursusnya berlatih menulis proposal masing-masing menggunakan teknik-teknik yang ditunjukkannya itu.

Pada akhir sesi training, semua peserta sudah pandai menulis proposal modul training yang efektif.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.


Bagaimana Trainer Boleh Ditarik ke Mahkamah Akibat Melanggar Undang-Undang Harta Intelek


Saya mempunyai sahabat baik seorang peguam harta intelek. Salah seorang anak guamnya adalah seorang trainer yang sedang disaman oleh sebuah syarikat training yang memegang hak francais modul dari Amerika. Kesalahan beliau adalah menyalin beberapa lembaran aktiviti dalam modul itu lalu digunakan dalam sesi training yang dijalankannya.

Bagaimanakah pemegang francais itu boleh mendapat maklumat dan barang bukti bahawa trainer itu telah mencuri harta intelek dalam modul francaisnya?

i. Peserta yang mengikuti sesi trainingnya melaporkan dan menyerahkan bahan latihan itu kepada agen tersebut.

ii. Dilaporkan oleh staf di jabatan latihan yang menjadi pelanggan trainingnya.

Dunia ini sangat kecil. Kita sangka tidak ada sesiapa akan tahu tahu kita menggunakan bahan-bahan harta intelek orang lain. Kita tidak menyangka bahawa dalam kalangan peserta sesi training kita rupa-rupanya ada ahli keluarga, saudara-mara, ataupun kawan-kawan baik kepada pemegang francais itu.

Begitu juga halnya dengan siapa yang berkerja di jabatan latihan pelanggan kita. Staf jabatan latihan sudah biasa menguruskan bahan-bahan latihan yang digunakan oleh pembekal-pembekal. Jadi mereka mudah perasan apabila ternampak bahan-bahan yang serupa dengan bahan-bahan yang digunakan dalam modul syarikat lain.

Perkara-perkara yang trainers perlu berhati-hati supaya tidak melanggar undang-undang harta intelek:

1. Menggunakan judul buku yang sudah didaftar sebagai Trademark (TM)

2. Menyalin mana-mana ayat, foto, ilustasi dalam buku-buku orang lain.

3. Menyalin ayat-ayat dalam artikel dari blog, web ataupun Facebook orang lain.

4. Menyalin strip komik hasil lukisan orang lain.

5. Menyalin bahan-bahan dari modul orang lain.

6. Memainkan muzik atau lagu milik orang lain yang diperdengarkan kepada peserta training.

Siapakah trainer yang cenderung mencuri harta intelek pihak lain?

i. Pemain baru dalam industri. Disebabkan mereka masih baru, mereka tidak tahu undang-undang harta intelek.

ii. Pemain yang bukan trainer sejati. Mereka adalah trainer sambilan, ataupun penceramah yang cuba menjalankan peranan baru sebagai trainer, jadi mereka tidak mempunyai bahan-bahan latihan sendiri.

iii. Pemain yang pernah mengikuti program training anjuran pihak-pihak lain. Mereka mempunyai fail training pihak lain itu, lalu disalin dan digunakan.

iv. Trainer yang pernah menjadi certified trainer pada modul francais, lalu mereka keluar dan menubuhkan syarikat sendiri, tetapi mereka tidak membangunkan modul original.

Dalam internet, memang ada pemilik IP yang mengizinkan harta mereka digunakan dengan percuma dan tanpa perlu mendapatkan izin bertulis lebih dahulu. Bahan-bahan seperti itu boleh disalin dan digunakan dalam sesi training  ataupun coaching.

Barang bukti yang paling sohih menunjukkan seseorang itu telah mencuri harta intelek milik pihak lain adalah beg, folder, fail, bahan bercetak, dan semua item yang dibekalkan kepada pelanggan yang pada item-item itu tercetak nama dan alamat syarikat kita.

Kos mendapatkan perkhidmatan peguam yang pakar dalam harta intelek adalah sangat mahal, lazimnya mencecah puluhan ribu ringgit. Ini tidak termasuk kos saman yang mesti dibayar.


------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Mengapa Ada Trainer Banyak Bercakap Sehingga Membosankan Peserta


Banyak bercakap bukan pekerjaan trainer, namun ada trainer yang banyak bercakap. Dalam sesi training, trainer bercakap 10% sahaja. Selainnya para peserta menjalani latihan.

Majoriti mereka yang mahu menjadi trainer sudah sedar bahawa sebagai trainer mereka tidak boleh banyak bercakap, namun mereka tetap banyak bercakap di hadapan peserta. Jadi, mereka sudah mempunyai awareness, sudah sedar bahawa sebagai trainer mereka tidak boleh banyak bercakap, tetapi pengetahuan dan awareness itu tidak menjamin bahawa mereka pandai bercakap sedikit.

Penceramah wajib mempunyai skill bercakap banyak. Manakala trainer pula wajib mempunyai skill bercakap sedikit.

Bercakap sedikit adalah suatu skill yang perlu dipelajari dan dikuasai. Bagi seseorang yang mempunyai banyak ilmu dan maklumat, bercakap sedikit adalah sukar. Ia memerlukan disiplin tinggi bagi menutup mulut pada saat keinginan bercakap sangat tinggi.

Dalam budaya kita, kepandaian bercakap di hadapan audiens disamakan dengan kepandaian otak dan kehebatan ilmu. Bakat pandai bercakap adalah bakat yang diberi nilai tinggi oleh masyarakat. Semakin seseorang itu pandai bercakap di hadapan khalayak, semakin dia dipandang sebagai orang yang pintar dan mempunyai ilmu. Ini adalah suatu falasi yang disangka kebenaran. Justeru banyak orang sangat berusaha mahu menjadi orang yang pandai bercakap.

Namun, dalam sesetengah profesion, semakin seseorang itu kurang bercakap, semakin hal itu menjadi faktor penting bagi kejayaan dalam profesion itu. Sebagai contoh, kerjaya sebagai saintis penyelidikan, penyelam, akauntan, doktor bedah, pilot dan hakim adalah contoh-contoh profesion yang tidak memerlukan bakat pandai bercakap berapi-api di hadapan audiens. Dalam bidang training, jika trainer sangat pandai bercakap, hal itu belum tentu bagus. Ada risiko di mana sesi trainingnya menjadi sesi dia berceramah.

Antara faktor-faktor yang menjadi punca adanya trainer yang cenderung banyak bercakap meskipun mereka sudah tahu mereka tidak boleh bercakap banyak adalah:

1. Apabila trainer itu pernah menjadi pensyarah universiti ataupun guru.

Dalam pekerjaan sebagai pensyarah dan guru, mereka MENGAJAR, itu sebab mereka perlu banyak bercakap. Bercakap dan mengajar-ajar sudah menjadi habit yang sukar dikikis.

2. Apabila trainer itu seorang pendakwah yang selalu bercakap memberi kuliah.

Dalam memori mereka tersimpan ayat-ayat yang sudah berpuluh kali, ataupun beratus kali diulang-ulang. Jadi ayat-ayat itu automatik keluar sebaik-baik mereka membuka mulut di hadapan peserta.

3. Apabila trainer itu seorang penceramah.

Penceramah sudah biasa diberi tempoh panjang bercakap, paling kurang 20 minit, malah boleh sampai 1 jam. Akibatnya, penceramah tidak puas kalau tidak bercakap panjang-panjang!

4. Apabila trainer hendak menunjukkan dia seorang yang mempunyai banyak ilmu kepada peserta.

Ini ciri utama dalam kalangan orang yang baru sahaja menceburi bisnes training. Dia terdorong banyak bercakap bagi membuktikan bahawa dia mereka layak berdiri di hadapan peserta. Dengan banyak bercakap dia cuba meyakinkan peserta bahawa dirinya layak menjadi trainer mereka.

5. Apabila trainer keliru antara objekif mengajar dan objektif melatih.

Mengajar adalah memberitahu maklumat. Melatih adalah memindahkan skill. Orang yang pandai mengajar belum tentu pandai melatih. Orang yang pandai melatih belum tentu pandai mengajar.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Risiko Menawarkan Produk Ikut-ikutan


Dalam bidang training, salah satu strategi bisnes adalah buat apa orang lain sudah buat. Di sini, mula-mula kita melihat rakan-rakan lain menawarkan produk yang nampaknya laku, lalu kita ikut menawarkan produk yang sama, ataupun lebih kurang sama.

Sebagai contoh, kita melihat seorang rakan-trainer menawarkan training bidang parenting dengan menggunakan tafsir surah Al-Kahfi. Lalu kita pun menawarkan produk yang ala-ala serupa tetapi berdasarkan tafsir surah Lukman pula.

Strategi ikut-ikutan boleh dilakukan apabila memenuhi 3 kriteria ini:

1. Kualiti produk kita adalah sama baiknya, tetapi pada harga yang lebih murah.

2. Harga produk kita sama, tetapi kualiti produk kita lebih baik.

3. Strategi dan teknik pemasaran yang kita gunakan dapat mengalahkan populariti produk yang ditiru.

Dunia training dalam Bahasa Melayu adalah sangat kecil. Jumlah pemainnya sangat kecil juga. Bak kata pepatah Melayu, dapat dikira dengan jari.

Apabila kita meniru-niru produk rakan kita sendiri, risikonya adalah:

1. Kita menjadikan rakan sendiri sebagai pesaing dalam pasaran. Ini tidak sihat untuk menjaga kepentingan bisnes kita, kerana ia menjejaskan hubungan mesra persahabatan dan kerjasama pada masa hadapan.

2. Masa dan tenaga yang kita gunakan bagi mencipta produk tiruan kita itu lebih baik digunakan bagi mencipta produk original kita sendiri.

3. Disebabkan produk kita adalah produk tiruan, kita tidak dapat meletakkan harga yang lebih tinggi daripada harga produk yang ditiru. Tidak begitu halnya apabila kita menawarkan produk original kita sendiri.

Apakah yang bagus ditiru dari sahabat-sahabat kita dalam industri?

Yang bagus ditiru adalah strategi marketing yang mereka gunakan, yang terbukti berkesan. Bukan meniru produk mereka.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

.

Trainer Wajib Mempunyai Core-Product


Trainer wajib mempunyai core-product.

Syarikat pembekal perkhidmatan training wajib mempunyai core-product.

Bisnes raining adalah bisnes menjual kepakaran. Mempunyai core-product adalah sangat penting supaya trainer dan syarikat training mempunyai kepakaran, dan seterusnya mempunyai kredibiliti.

Seseorang itu tidak mungkin mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

Daripada 1 bidang kepakaran, ia dapat menghasilkan pelbagai bidang aplikasi. Di sini, kita dapat menghasilkan pelbagai modul trainingnya.

Contoh:

Bidang kepakaran: Penulisan non-kreatif.

Modul-modul training yang ditawarkan:

1. Menulis artikel untuk akhbar
2. Menulis artikel untuk majalah
3. Menulis skrip untuk video dokumentari
4. Menulis laporan projek
5. Menulis entri blog komersial
6. Menulis konten buku cenderamata korporat
7. Menulis buku non-kreatif
8. Menulis buku biografi

Jadi, jawab dengan 1 ayat: Apakah core-product kita?

Core-product saya adalah................................................

.

Motivator Banyak Wang


Seorang sahabat FB saya menulis dalam posting beliau....

"I don't much like motivational speakers. In our schools, they seem to be making a lot of money."

Beliau seorang yang sangat popular dalam FB. Jadi apa-apa yang beliau tulis dibaca oleh banyak orang.

Kenyataan yang beliau tulis itu adalah persepsi umum yang tercipta oleh gaya penampilan motivator apabila mereka datang ke sekolah, dengan mempamerkan item-item yang memberi gambaran mereka mempunyai banyak wang.

Memang benar, ada beberapa motivator yang mempunyai banyak wang dan mampu membeli item-item mahal itu. Mereka itu terkenal dan popular dalam pasaran, dan mereka menikmati yuran yang relatif tinggi, dan gaya mereka telah dijadikan sebagai rujukan oleh orang awam. Dalam minda mereka, apabila disebut perkataan 'motivator', maka yang digambarkan adalah motivator yang banyak buat wang.

Mereka adalah kekecualian. Majoriti motivator mempunyai pendapatan yang biasa-biasa sahaja.

Trainer Mempromo Diri Sebagai Pakar


Dalam ekonomi modern, kepakaran adalah modal bisnes perkhidmatan yang paling baik.Semakin tinggi kepakaran seseorang, akan semakin tinggi nilai pasarannya, maka semakin tinggi permintaannya.

Inilah yang berlaku dalam semua bisnes perkhidmatan. Orang-orang yang kaya sahaja mampu menggunakan perkhidmatan pakar-pakar.

Kita dapat lihat ini dalam bidang perubatan dan undang-undang. Doktor-doktor dan peguam menikmati pendapatan lebih tinggi selari dengan usia mereka.

Training adalah perkhidmatan kepakaran. Trainer yang pakar dapat bertahan lama dalam pasaran. Semakin lama mereka dalam bisnes, mereka mampu meletakkan yuran yang lebih tinggi.

Bagaimanakah trainer dapat mempromo diri mereka sebagai pakar?

1. Pertama-tama pilih bidang pengkhususan

Pilih satu bidang khusus supaya ditekuni dan dikuasai. Sebagai contoh, pilih kepakaran dalam lateral thinking. Baca semua buku Dr. Edward de Bono. Amalkan cara berfikir lateral thinking itu. Tulis buku-buku bagi membuktikan kita menguasai ilmu itu.

2. Bawa diri sebagai seorang pakar

Pakar-pakar memang nampak gaya kepakaran mereka apabila berada di khalayak. Sebagai contoh, ada perkara-perkara yang doktor-doktor pakar tidak akan lakukan apabila berada di khalayak.

Pada peringkat paling asas, pakar-pakar tidak bercakap dengan suara kuat!

Doktor pakar tidak akan memakai pakaian dengan warna-warna tertentu, ataupun potongan-potongan fesyen tertentu.

Begitu juga doktor-doktor pakar tidak akan mengambil gambar dengan posing-posing tertentu.

3. Bercakap sebagai seorang pakar

Pakar-pakar hanya bercakap dalam perkara di mana mereka mempunyai informasi. Doktor pakar bedah tidak akan muncul di TV bercakap tentang perkara yang mereka bukan pakarnya. Meskipun mereka mempunyai pendapat berkenaan isu-isu sosial, mereka tidak akan muncul di khalayak bercakap berkenaan isu-isu sosial yang tiada kaitan dengan kepakaran mereka.

4. Gunakan gaya bahasa pakar

Bahasa seseorang menunjukkan bidang kepakarannya. Dengan mendengar, ataupun membaca bahasa yang mereka gunakan, orang sudah mendapat kesan bahawa seseorang itu bukan orang biasa-biasa.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.


Perlukah Trainer Belajar Menggunakan Showmanship?


Salah satu persoalan yang difikir-fikirkan oleh mereka yang baru hendak mula menceburi dunia bisnes training adalah isu showmanship. Isu showmanship timbul kerana kita banyak menonton bagaimana selebriti dunia motivasi muncul di skrin televisyen dengan menggunakan gaya showmanship masing-masing.

Showmanship bukan hanya digunakan oleh selebriti motivasi, malah golongan ustaz-ustaz yang muncul di skrin televisyen pun sudah belajar belajar menggunakan showmanship.

Televisyen adalah sumber entertainment. Orang membuka televisyen bagi mendapatkan entertainment.

Showmanship adalah unsur entertainment. Ia adalah sejenis lakonan. Kemahiran menggunakan showmanship penting bagi mereka yang muncul di skrin televisyen kerana stesen televisyen memang mahukan elemen showmanship dari sesiapa yang diundang masuk studio.

Bisnes training tidak memerlukan trainer muncul di skrin televisyen bagi mempromosi perkhidmatannya.

Showmanship juga tidak diperlukan semasa trainer mengendalikan sesi trainingnya.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Modul dan Trainer: Peminat Spageti Berulang Kali Datang ke Restoran Bukan Mahu Melihat Pinggannya yang Cantik


Orang berulang kali datang ke restoran kerana mahu makan lagi spagetinya yang lazat. Tidak ada pelanggan yang datang berulang kali kerana mahu melihat pinggannya yang cantik!

Foto-foto apakah yang lebih penting dipromo dalam Facebook?

a. Mempromo foto personaliti si trainer? Ini dilakukan dengan mem-posting foto-foto di mana wajah tariner menjadi subjek utamanya.

b. Mempromo kualiti modul? Ini dilakukan dengan menggunakan blog informasi.

c. Mempromo foto perjalanan sesi training? Ini dilakukan dengan mem-posting foto-foto peserta sedang menjalani latihan.

d. Mempromo judul kursus?  Ini dilakukan dengan menulis berulang kali judul kursus yang dijalankan.

e. Mempromo nama-nama pelanggan? Ini dilakukan dengan menyebut nama-nama pelanggan dalam posting-posting FB.

Contoh nama-nama pelanggan yang di promo:
a. Kementerian
b. Jabatan
c. Syarikat
d. Sekolah, kolej, universiti, persatuan pelajar, yayasan, NGO dll
e. Masjid, surau, rumah kebajikan
f. Individu

Modul yang baik adalah faktor paling penting dalam survival bisnes training. Ia ibarat spageti yang lazat. Personaliti trainernya adalah faktor kedua. Ia ibarat pinggan kepada spageti itu.

Bagaimanakah kualiti modul dipromo dalam Facebook? Facebook digunakan bagi membawa trafik ke blog rasmi modul....

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Kelebihan Trainer Mem-brand-kan Dirinya Sebagai Pakar, Bukan Sebagai Selebriti


Tuan mahu menjadi trainer selebriti?

Kriteria yang membolehkan seseorang itu mem-brand-kan diri sebagai selebriti:

1. Memiliki wajah tampan, cantik dan fotogenik
2. Pandai bercakap kepada lensa kamera, atau mesra kamera.
3. Selesa berada di atas pentas.
4. Tidak gentar, malah suka, berdiri di depan khalayak besar.
5. Suka kerap muncul di skrin televisyen.
6. Memiliki bakat bermesra dengan media.
8. Sangat fasih berkata-kata.
9. Terkenal dalam kalangan orang awam.

Salah satu aspek dalam kehidupan selebriti yang tidak menarik adalah: Risiko pendapatan selebriti semakin tua semakin turun adalah suatu risiko yang sentiasa ada. Risiko ini perlu diurus dengan baik semasa masih sangat popular. Adalah sangat malang apabila kita menjadi orang terkenal tetapi jatuh 'miskin'.

Kriteria mem-brand-kan diri sebagai pakar:

1. Memiliki kelulusan tinggi dalam bidang berkaitan.
2. Memiliki perpustakaan peribadi yang besar.
3. Mengikuti perkembangan ilmu.
4. Menulis buku dalam bidang kepakaran.
5. Dikenali oleh kumpulan kecil yang memerlukan kepakarannya.
6. Menjalankan penyelidikan dalam bidang kepakaran.

Kelebihan mem-brand-kan diri sebagai pakar adalah: Pendapatan pakar-pakar semakin tua semakin tinggi.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Jadilah Pakar, Baru Dapat Menjadi Trainer


Jadilah seorang pakar dahulu, kemudian baru menjadi trainer. Sebagai contoh, selepas seseorang itu menjadi pakar masakan rendang-rendang Melayu, barulah dia layak mengendalikan kursus memasak rendang-rendang Melayu.

Dengan memiliki kepakaran barulah seseorang itu dapat melakukan perkara-perkara berikut:

1. Dia dapat men-desain modul kursusnya.

2. Dapat menyediakan nota-nota untuk perserta kursusnya.

3. Dapat men-desain aktiviti-aktiviti yang akan digunakan dalam kursusnya.

4. Dapat menulis proposal kursus yang meyakinkan pengurus jabatan latihan.

5. Dapat menyediakan bahan-bahan bagi melatih certified trainersnya.

6. Dapat menyampaikan presentasi kepada panel penilai.

7. Dia dapat mengendalikan kursusnya pada peringkat yang memuaskan hati pelanggannya.

Siapakah yang dikatakan pakar? Seseorang itu menjadi pakar apabila dia memiliki ilmunya dan memiliki skill-skill bagi melakukan kerja-kerja dalam bidang itu dengan lebih baik daripada orang biasa-biasa.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Sumber Bekalan Trainer Melayu untuk Pasaran


Industri training yang dijalankan oleh trainer-trainer Melayu mempunyai potensi dijadikan industri yang sihat dan vibrant. Industri ini mampu dijadikan sumber eksport perkhidmatan yang menguntungkan bagi ekonomi negara.

Tenaga mahir dalam bidang training sudah banyak. Mereka kini berkhidmat di pusat-pusat latihan dalam negara:

1. Tiap-tiap kementerian mempunyai pusat latihannya masing-masing.

2. Agensi-agensi awam seperti MARA, MARDI, FRIM dll semua mempunyai pusat latihan.

3. GLC-GLC seperti Telekom, TNB, Petronas dll mempunyai pusat latihan masing-masing.

4. Trainer Melayu yang berkhidmat di jabatan latihan korporat multinasional.

5. Trainer Melayu indie yang tumbuh sendiri.

Pada masa ini sektor latihan tidak dimasukkan dalam senarai jenis-ienis industri yang layak diberi dukungan oleh dasar perindustrian negara.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Pemain Industri Training Perlu Beri Perhatian pada Customer Education


Industri training dalam bahasa Melayu adalah umpama pokok rambutan lebat dengan buah tetapi tidak ada orang mempunyai galah cukup panjang bagi menuai buahnya.

Sektor kerajaan mempunyai bajet training yang besar. Tetapi yang kenyang makan duit bajet training itu adalah penyedia infrastruktur training seperti hotel-hotel dan syarikat penerbangan, manakala penyedia modul dan konten training hanya dapat makan reja-rejanya sahaja.

Ini situasi ayam dengan telur:

i. Kerajaan tidak mahu menaikkan bayaran yuran profesional trainer-trainer dalam bahasa Melayu disebabkan mutu training yang dibekalkan dianggap tidak layak dibayar lebih mahal daripada kadar yang ada sekarang.

Sudut pandang ini ada banyak betulnya. Justeru pembekal perkhidmatan training dalam bahasa Melayu perlu membuktikan bahawa modul training yang dibekalkan adalah saintifik, profesional dan memenuhi keperluan pelanggan perkhidmatan awam.

ii. Kadar bayaran yuran kerajaan yang murah menyebabkan trainer-trainer Melayu tidak melabur dalam peningkatan mutu konten pakej training yang mereka bekalkan.

Sudut pandangan ini pun ada betulnya. Pendapatan yang rendah tidak membolehkan trainer Melayu membiayai aktiviti research-and-development (R&D). Pendeknya, selagi kerajaan menaburkan kacang, maka monyet dan kera sahajalah yang datang. Jika kerajaan mahukan gajah yang datang maka kerajaan perlulah menaburkan tebu.

Namun, lazimnya dalam dunia bisnes pihak yang membekalkan produk dan perkhidmatanlah yang perlu mewajarkan peningkatan harga. Dua serampan yang perlu digunakan adalah:

i. Konten dan mutu modul training dalam bahasa Melayu mesti dipertingkatkan. Pada masa ini mutu modul-modul training dalam bahasa Melayu tidak tinggi disebabkan desainer modul-modul itu tidak memiliki ilmu dalam subjek, dan tidak menjalankan kajian bagi pembangunan modul, dan mereka juga tidak terlatih dalam kerja-kerja mendesain modul latihan.

ii. Strategi bisnes yang lebih efektif perlu dicipta bagi membuktikan keberkesanan pakej training yang dibangunkan oleh pakar-pakar tempatan.

Dari satu sudut lain, sektor kerajaan juga perlu diberi customer education oleh pakar-pakar dalam industri training. Banyak pegawai di jabatan latihan terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai latihan dalam jurusan human resource. Ada masanya mereka mempunyai idea yang salah tentang apa yang dikatakan sebagai 'training'.

------ 
Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Budaya Melayu Tinggi bagi Melembutkan Hati Pegawai Latihan


Majoriti pegawai latihan adalah perempuan Melayu, baik dalam sektor kerajaan mahupun dalam sektor swasta. Situasi ini menjadi penting diambil kira dalam memilih stail berurusan dengan mereka.

Perempuan lebih cerewet daripada lelaki dalam isu-isu tata-adab dan sopan santun. Perkara yang pegawai lelaki anggap kecil boleh jadi dianggap perkara besar oleh pegawai perempuan.

Ada dua aspek tata-adab yang perlu diberikan perhatian apabila berurusan dengan pegawai perempuan:

1. Psikologi perempuan yang berbeza daripada psikologi lelaki.

Sebagai contoh, perempuan memberikan nilai yang sangat tinggi kepada perhubungan. Jalin hubungan yang baik dahulu dengan pelanggan perempuan. Jangan terus mahu berbisnes dengan mereka.

2. Tata-adab yang khusus bagi berurusan dengan pegawai perempuan.

Sebagai contoh, jangan gunakan humor bagi mengambil hati pegawai perempuan. Jika pegawai perempuan itu menggunakan humor, itu hak beliau, tetapi kita jangan.

Budaya Melayu Tinggi mempunyai peraturan-peraturan yang ketat berkenaan cara yang betul menjalin hubungan dengan perempuan yang baik-baik dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Apabila peraturan itu digunakan dengan betul, urusan menjalin hubungan profesional dengan mereka menjadi lebih mudah.

------
Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.


Benarkah Syarikat-Syarikat GLC Tidak Mahu Modul dalam Bahasa Melayu?


Kita mendengar gosip-gosip yang mengatakan pegawai-pegawai latihan di GLC-GLC yang 100% stafnya adalah orang Melayu, macam Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH), pun tidak mahu mengambil modul training yang disampaikan dalam Bahasa Melayu.

Dengan andaian gosip-gosip itu benar, kita dapat mengemukakan beberapa hipotesis bagi menerangkan apa yang menjadi faktor berlakunya perkara seperti itu:

Hipotesis 1: Pegawai-pegawai latihan di GLC-GLC itu tidak faham Bahasa Melayu. Jika hipotesis ini benar, maka yang bersalah bukan pembekal training dalam Bahasa Melayu.

Hipotesis 2: Pegawai-pegawai latihan di GLC-GLC itu sudah menilai modul-modul dalam Bahasa Melayu yang dikemukakan kepada mereka, dan mendapati konten modul-modul itu walaupun bagus tetapi tidak memenuhi keperluan organisasinya. Maknanya mereka memerlukan modul-modul lain. Jika hipotesis ini benar, pembekal training dalam Bahasa Melayu perlu mengemukakan modul-modul yang menepati keperluan GLC-GLC itu.

Hipotesis 3: Pegawai-pegawai latihan di GLC-GLC itu, berdasarkan pengalaman mereka, mempunyai persepsi sangat negatif terhadap kualiti perkhidmatan dan kualiti modul yang diberikan oleh pembekal training dalam Bahasa Melayu. Jika hipotesis ini benar, maka yang bersalah adalah pembekal training dalam Bahasa Melayu kerana modul mereka tidak berkualiti.

Hipotesis 4: Pegawai-pegawai latihan di GLC-GLC itu mahu mengambil modul-modul dalam Bahasa Melayu tetapi mereka ditekan oleh arahan dari pihak atasan yang mahukan semua modul latihan disampaikan dalam bahasa Inggeris, meskipun peserta tidak fasih bahasa Inggeris.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Tip Bahasa untuk Komunikasi Marketing


Majoriti pengurus dan pegawai di jabatan latihan sektor swasta adalah Melayu. Inilah situasinya dalam syarkat multinasional, mahupun dalam syarikat-syarikat Malaysia yang di senaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Apabila trainer Melayu mendapat appointment berjumpa dengan mereka, bahasa apakah yang sebaiknya digunakan? Isu ini timbul kerana syarikat-syarikat itu mengguanakan bahasa Inggeris pada peringkat eksekutif.

Ada dua pendapat di sini:

1. Gunakan bahasa Inggeris

Trainer sebaiknya bercakap menggunakan bahasa Inggeris meskipun pegawai itu orang Melayu.

Kelebihan menggunakan bahasa Inggeris:

a. Kita dapat tunjukkan bahawa kita tahu bahasa Inggeris.

b. Eksekutif itu akan berasa selesa kalau dia pun memang lebih suka bercakap dalam bahasa Inggeris dengan kita.

2. Gunakan Bahasa Melayu

Kepada eksekutif Melayu, trainer sebaiknya menggunakan bahasa Melayu.

Risiko bercakap dalam bahasa Inggeris kepada pelanggan kita adalah:

a. Jikalau kita tidak betul-betul fasih, disebabkan sedikit sahaja kesalahan sebutan ataupun grammar, eksekutif itu akan menganggap kita bodoh bahasa Inggeris, oleh itu tidak layak.

b. Jikalau kita sangat fasih berbahasa Inggeris, eksekutif itu berasa kita mahu menunjuk-nunjuk yang kita lebih fasih daripada diirinya.

c. Risiko bahasa ini lebih besar apabila eksekutif itu tahu berbahasa Inggeris, tetapi dia lebih suka berbahasa Melayu dengan orang Melayu.

Apabila kita memilih berbahasa Melayu, bagaimanakah caranya kita hendak memberitahu eksekutif itu dengan cara yang sangat halus bahawa kita juga fasih berbahasa Inggeris?

Caranya adalah, apabila kita perlu menyebut satu ataupun dua perkataan Inggeris, sebut perkataan itu dengan sebutan bahasa Inggeris yang baik. Telinganya yang tajam akan dapat menangkap bahawa hanya orang yang fasih berbahasa Inggeris sahaja dapat mengeluarkan sebutan sebegitu!

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Bagaimana Pelanggan Korporat Multinasional Menilai Keberkesanan Trainer dan Training


Kilang-kilang milik syarikat multinasional banyak terdapat di negara kita. Boleh dikatakan pekerja di lantai kilangnya hampir 100% Melayu.

Disebabkan majoriti pekerja kilang adalah orang Melayu, maka tidak hairanlah pengurus sumber manusia dan pagawai latihannya lazimnya adalah Melayu juga. Fakta ini memberi peluang kepada trainer Melayu membekalkan perkhidmatan mereka kepada pasaran syarikat multinasional. Kita hanya perlu mengenalpasti jenis-jenis produk yang diperlukan.

Bajet training korporat multinasional diluluskan oleh ibu pejabat mereka. Pegawai human resource di Kuala Lumpur akan memohon kelulusan dari ibu pejabat. Jika korporat itu adalah milik Jepun, maka Tokyo yang meluluskan bajetnya. Ini adalah suatu kelebihan, kerana pegawai-pegawai di Tokyo tidak mempunyai prejudis terhadap trainer Melayu.

Apabila pelanggan multinasional menjalankan training, sesi training pertama yang dikendalikan akan dipantau oleh pegawai pemantau bagi memastikan kualiti training itu.

Disebabkan peserta training adalah pekerja Melayu, dan training disampaikan dalam bahasa Melayu, maka lazimnya pegawai pemantau yang dihantar adalah pegawai Melayu. Ini adalah suatu kelebihan bagi trainer Melayu.

Laporan pegawai pemantau akan menentukan sama ada training itu akan diteruskan untuk kumpulan-kumpulan lain ataupun ditamatkan di situ sahaja.

Dengan sistem pemantauan dan penilaian yang digunakan oleh pengurusan korporat multinasional itu, isu bukti-bukti keberkesanan program menjadi faktor paling utama yang dinilai.

Dalam dunia bisnes, segala wang yang dibelanjakan mempunyai 2 objektif sahaja:

1. Menaikkan keuntungan syarikat
2. Menurunkan kerugian syarikat

Justeru pakej training yang ditawarkan mesti dapat menyumbang kepada 2 objektif itu.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Syarikat Training Berfungsi Sebagai Event Organiser


Dalam pasaran, terdapat syarikat-syarikat training yang operasinya adalah membekalkan program training dengan menghantar individu-individu di luar syarikat sebagai trainer.  Mereka itu memiliki kepakaran dan menjadi trainer freelancer. Mereka dibayar setiap kali mereka menjalankan sesi training. Jadi, syarikat membuat keuntungan dengan mengambil sebahagian daripada yuran yang dibayar oleh pelanggan.

Syarikat training yang membekalkan trainer-trainer freelancer sebenarnya sudah tidak menjadi syarikat training lagi, sebaliknya sudah menjadi syarikat event organiser.

Apakah menjadi event organiser suatu strategi bisnes yang baik dalam industri training?

1. Trainer freelancer tidak dapat memberikan jaminan kepada kita bahawa mereka akan sentiasa datang apabila diperlukan. Mereka bukan doktor on-call. Mereka membekalkan diri mereka kepada mana-mana syarikat yang memerlukan perkhidmatan mereka, jadi mereka tidak menjamin kesetiaan kepada syarikat kita sahaja.

2. Ada masanya pelanggan menyebut nama seseorang individu khusus yang mereka mahukan tetapi tidak dapat dipenuhi. Ini selalu berlaku kepada penceramah selebriti yang kerap muncul di kaca televisyen. Semasa selebriti seperti itu masih sangat popular, mereka itu sangat sibuk, jadi sukar hendak mendapatkan tarikh mereka.

3. Disebabkan mereka adalah freelancer, kita tidak dapat mengawal kualiti training yang mereka sampaikan.

4. Mereka boleh potong trip bisnes kita dengan berurusan terus dengan pengurus latihan jabatan pelanggan kita. Lazimnya ini berlaku apabila freelancer itu tidak puas hati dengan kadar yuran yang kita bayar mereka.

Apakah faktor yang mendorong syarikat training menjadi event organiser?

a. Syarikat training itu tidak memiliki sebarang kepakaran dalam kalangan pendirinya.

b. Syarikat terpaksa menggunakan perkhidmnatan freelancer apabila dia sanggup membekalkan apa-apa sahaja pakej training yang diminta oleh pelanggan, walaupun pakej yang diminta itu di luar bidang kepakarannya. Sebagai contoh, pelanggan mahukan program motivasi yang di dalamnya diadakan aktiviti 'Liang Lahad' manakala syarikat tidak mempunyai keupayaan menjalankan aktiviti seperti itu, lalu dia pun mencari-cari freelancer yang dapat menjalankan aktiviti itu bagi pihaknya.

c. Apabila syarikat training gagal menjual modul trainingnya kepada pelanggan kerajaan ataupun swasta pada jumlah yang mampu menghasilkan pendapatan selesa kepada syarikat, maka syarikat terpaksa mencari punca pendapatan lain. Salah satu caranya adalah dengan menganjurkan seminar dan konvensyen, yang sebenarnya adalah event.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Ada Amalan Trainers Amerika yang Tidak Sesuai dengan Nilai dan Budaya Asia


Apabila orang Amerika mendengar orang Asia bercakap, mereka mendapat gambaran orang Asia adalah bangsa yang menghidap penyakit tidak konfiden, terlalu sensitif, tidak yakin diri, self-esteem rendah, dan malu yang tidak kena tempat.

Apabila orang Asia mendengar orang Amerika bercakap, mereka mendapat gambaran orang Amerika adalah bangsa menghidap penyakit riak, bangga diri, memuja diri sendiri, tidak sensitif, biadab, angkuh, takbur dan sombong.

Perbezaan ini adalah isu perbezaan antara nilai-nilai budaya Asia dan budaya Amerika.

Sesetengah trainer dan speaker tempatan menggunakan gaya bercakap sebagaimana yang disyorkan dalam buku-buku komunikasi Amerika. Ini banyak berlaku dalam kalangan trainer dan speaker yang mengamalkan tip-tip yang dituliskan dalam buku-buku terbitan Amerika.

Melalui proses pendidikan formal dan buku-buku Amerika yang mereka baca, mereka menerima pengaruh nilai-nilai budaya Barat, khususnya budaya Amerika. Di kalangan trainer yang mengendalikan program francais dari Amerika, ciri-ciri pengaruh Amerika itu lebih ketara.

Tidak semua prinsip dalam bisnes training yang dianggap baik dan betul dalam budaya Amerika dapat diterima sebagai baik dan betul dalam budaya Asia umumnya, dan budaya Melayu khusunya.

Dalam budaya Amerika, apabila bercakap di hadapan audiens, seseorang itu dikehendaki menceritakan kejayaan-kejayaan yang pernah dicapainya. Prinsip ini disebut 'walk the talk'. Kalau tidak, orang Amerika tidak terpengaruh oleh apa yang dikatakannya, tidak  percaya orang itu adalah seorang yang kredibel, dan mereka tidak berminat mahu mendengar apa yang diperkatakan. Jika mendengar sekalipun, mereka mendengar dengan rasa ragu dan sangsi.

Inilah faktor yang menyebabkan orang Amerika tidak malu, malah berasa bangga, apabila menceritakan kejayaan dan kehebatan diri mereka dan anak isteri mereka kepada audiens. Mereka yang mendengar pula berasa kagum dan menghormati orang yang bercakap itu sebagai orang yang telah membuktikan dirinya sebagai bukti hidup kepada biji butir percakapannya.

Budaya Amerika adalah budaya yang menganut fahaman individulistik, di mana individu itu lebih penting daripada kelompok. Jadi, adalah natural dan wajar apabila mereka bercakap tentang apa-apa sahaja, orang Amerika akan mengaitkan topik ucapan mereka dengan diri serta kehidupan peribadi mereka.

Budaya Asia adalah budaya kelompok, di mana nilai-nilai bersama adalah lebih penting daripada nilai-nilai individu. Inilah yang menyebabkan orang Asia merahsiakan kejayaan mereka kerana dalam budaya Asia kejayaan kelompok adalah lebih membanggakan daripada kejayaan individu.

Nilai-nilai kelompok menyebabkan orang Asia sangat tidak suka kepada orang yang suka bercerita tentang kejayaan dirinya, anak isterinya, ataupun sesiapa yang dikaitkan dengan dirinya. Perbuatan bercakap dengan banyak menggunakan "saya... anak saya... suami saya... isteri saya..." dilihat sebagai sikap riak. Semakin banyak seseorang itu menceritakan hal dirinya dan keluarganya, semakin hadirin berasa tidak seronok, resah gelisah dan meluat.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.




Apa Kelebihan Memfrancais Pakej Training Luar Negara?


Demi survival dalam bisnes, syarikat pembekal perkhidmatan training mesti mempunyai produknya sendiri. Produk itu dapat diperoleh dengan 2 cara:

1. Produk itu dicipta sendiri

Lazimnya pengasas syarikat itu sendiri yang mencipta modul trainingnya dengan menggunakan ilmu dan kepakaran yang dimilikinya. Sebagai contoh pengasas syarikat itu adalah pakar menghias kek pengantin bertingkat-tingkat lalu itulah kursus yang dijalankan oleh syarikatnya. Ataupun, pengasas syarikat itu adalah seorang yang mahir menulis artikel untuk akhbar dan majalah, lalu dia menghasilkan modul kursus itu. Steven Covey, Dale Carnegie, Zig Ziglar dan banyak lagi melakukan cara ini.

2. Produk francais

Produk itu dilesen secara francais dari syarikat lain yang memiliki harta inteleknya, baik dari pemilik dalam negara ataupun dari luar negara. Apakah kelemahan dan kelebihan memfrancais produk luar?

a. Strategi memulakan bisnes training dengan menjadi memfrancais produk luar negara ini ini adalah strategi masuk pasaran yang paling mudah kerana semua bahan sudah disediakan, dan latihan juga diberikan bagaimana mengendalikan program itu.

b. Namun straegi francais memerlukan wang yang banyak sebagai modalnya.

c. Meskipun modalnya besar, memfrancais produk dari luar negara yang sudah terkenal brandnya mempunyai kelebihannya yang baik, khususnya dari sudut marketing. Produk-produk Steven Covey, Dale Carnegie, Zig Ziglar dan banyak lagi kini difrancaiskan ke negara-negara lain, termasuk Malaysia.

d. Perjanjian francais pakej training memaksa kita menyampaikan pakej itu bulat-bulat sebagaimana ia dibekalkan. Jika kita perlu mengubahsuai mana-mana bahagian dalam pakej itu, ia hanya boleh dilakukan dengan keizinan bertulis dari francaisor.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.


Tip Survival Bisnes Training: Plus Minus Memfrancais Modul Luar Negara


Pada masa ini senario industri training Malaysia menunjukkan syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan training milik kaum Cina dan India mengusai hak francais modul-modul training luar negara yang terkenal.

Pembekal training dalam Bahasa Melayu tidak berminat memfrancais modul luar negara disebabkan:

1. Modal besar diperlukan bagi mendapatkan hak francais.

2. Sangkaan modul-modul itu wajib disampaikan dalam bahasa Inggeris sahaja. Sangkaan ini tidak benar. Isu bahasa dapat diselesaikan dalam proses perundingan dengan pihak francaisor.

Faktor-faktor plus minus pada modul luar negara:

1. Modul-modul import mempunyai brand yang sudah sangat kuat dalam pasaran.

Contoh brand yang terkenal adalah modul Steven Covey '7 Habits' dan modul Dale Carnegie. Namun modul jenis ini semuanya sudah dilesenkan kepada agent masing-masing untuk pasaran Malaysia, jadi tiada peluang untuk pemain baru mendapatkan francaisnya.

2. Harga modul-modul francais adalah sangat mahal.

Faktor tukaran matawang asing menyebabkan modul luar negara menjadi mahal dalam konteks pasaran Malaysia, jadi hanya korporat-korporat besar sahaja yang mampu, seperti bank-bank, Telekom, Petronas, TNB, Proton dan seperti itu. Lazimnya sektor kerajaan tidak sanggup membayar harga modul luar negara yang sangat mahal. Di sinilah peluang produk yang dibangunkan oleh pakar-pakar dalam negara, kerana harganya lebih kompetitif.

3. Modul-modul import itu didesain dengan mutu profesinalisme yang tinggi.

4. Modul-modul import itu diproduksi dengan kualiti bahan yang tinggi.

5. Kit marketing modul-modul import itu didatangkan bersama-sama dengan modul.

6. Banyak pelanggan adalah pengagum apa-apa produk training dari luar negara.

Lazimnya, jabatan human resource korporat-korporat di Malaysia dipenuhi oleh pengagum apa-apa yang mempunyai cop made-in-USA. Mereka mudah membeli modul-modul import, meskipun harganya sangat tinggi dan ada aspek-aspek pada modul import itu yang tidak sesuai, malah bertentangan, dengan nilai-nilai budaya tempatan. Di sini, pembangun modul tempatan perlu memasuki pasaran korporat dengan menawarkan modul yang lebih saintifik dan di-desain dengan mutu profesionalisme yang tinggi.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Elemen Modal Budaya adalah Competitive Edge bagi Modul Tempatan


Modul-modul yang dibangunkan oleh pakar-pakar training tempatan dapat bersaing dengan modul dari luar negara.

Modul tempatan mempunyai beberapa competitive egde apabila dibandingkan dengan modul-modul import yang difrancaiskan kepada agen-agen tempatan:

1. Modul yang difrancais dari luar negara tidak menggunakan case-study Malaysia sedangkan penggunaan kajian kes Malaysia sangat membantu pembangunan percaya-diri peserta.

Modul-modul import yang ada dalam pasaran sekarang adalah dilesen dari Amerika. Dari sudut psikologi, kebergantungan kepada modul-modul Amerika adalah kerugian yang besar kepada psikologi rakyat Malaysia. Semakin banyak kita didedahkan kepada modul Ammerika semakin kita berasa Amerika itu pesaing yang terlalu hebat dan mustahil dapat kita kalahkan.

2. Contoh-contoh yang digunakan bukan dari Malaysia.

Dalam proses belajar, contoh-contoh memainkan peranan amat penting kerana peserta belajar dari contoh, bukan dari prinsip-prinsip yang diajarkan. Apabila contoh-contoh pun adalah dari Amerika hal ini bukan hanya menyukarkan proses internalisasi, malah ia sangat merugikan psikologi Malaysia.

3. Kontrak francaising tidak membenarkan trainer tempatan menggunakan bahan latihan yang dicabut daripada pengalaman pelanggan sendiri.

Sebagai contoh, dalam kursus problem-solving yang difrancais dari Amerika, trainer wajib menggunakan problem yang sudah disediakan dalam modul. Trainer tidak diizinkan menggunakan problem-problem yang sebenarnya sedang dihadapi oleh pelanggan.

Terma-terma dalam kontrak francais itu mewajibkan jika agen tempatan mahu menggunakan kes-kes dan contoh-contoh tempatan maka ada prosedur yang mesti dipatuhi. Sebagai contoh, kes itu mesti dikemukakan kepada francaisor terlebih dahulu bagi mendapatkan kelulusan dan izin.

4. Ada elemen-elemen dalam aktivitinya yang bertentangan dengan nilai-nilai dan budaya orang Malaysia.

Sesetengah aktiviti yang peserta dikehendaki melakukannya adalah salah dari sudut budaya tempatan, dianggap tidak sopan, malah menjatuhkan maruah peserta itu di hadapan peserta-peserta lain. Sebagai contoh, dalam sebuah modul francais dari Amerika, ada aktiviti yang menghendaki peserta melompati garis di atas lantai. Garis itu luas. Peserta perempuan terpaksa mengangkat kainnya tinggi supaya dapat melompatinya. Malah peserta perempuan yang sudah berumur pun dikehendaki melompat juga!

 ------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Modul Training yang Berkualiti Profesional adalah Berdasarkan Aliran dan Mazhab


Salah satu faktor mengapa kualiti modul training tidak cukup profesional dan oleh itu kurang berkesan adalah disebabkan modul itu disediakan dengan tidak jelas mazhab apa yang digunakan.

Semua ilmu ada banyak mazhabnya. Modul training juga ada mazhab-mazhabnya. Trainer mesti dengan jelas menerangkan mazhabnya kepada peserta. Ini mengelakkan peserta daripada mengalami kekeliruan.

Dalam ilmu memasak rendang pun masing-masing pakar rendang mempunyai mazhab masing-masing bagi menghasilkan rendang signature mereka. Ada kelainan pada resipi mereka dan pada prosedur memasaknya.

Ambil contoh dalam kes pengurusan masa. Ada pakar pengurusan masa yang berpegang pada konsep bahawa masa adalah ibarat kuih talam. Masa boleh dipotong-potong, lalu dibahagi-bahagikan. Itulah mazhab mereka berkenaan masa dan pengurusan masa. Mazhab ini diajarkan di sekolah-sekolah. Dan mazhab ini yang paling popular, meskipun tidak menjamin ia paling produktif.

Apabila kita menghadiri kursus pengurusan masa yang berpegang pada konsep masa adalah kuih talam, kita akan belajar membuat jadual waktu, dan kita mesti taat melaksanakan jadual waktu itu. Jadi, latihan dan aktiviti kursusnya adalah sesuai dengan mazhab itu.

Ada pula pakar-pakar pengurusan masa yang menolak konsep masa adalah kuih talam atas alasan konsep itu tidak fleksibel dan tidak menjamin produktiviti yang optimum.

Dalam mazhab lain lagi, pakar-pakar mengatakan manusia mempunyai jam biologi yang tidak semestinya selari dengan jam matahari. Justeru jika seseorang itu mahu mengoptimumkan masanya dia perlu bekerja dengan mengikuti kitaran jam biologinya.

Dalam kursus pengurusan masa yang dikendalikan oleh penganut mazhab jam biologi, latihan dan aktivitinya sangat berbeza dengan kursus mazhab kuih talam.

Ada satu lagi mazhab pengurusan masa yang mengatakan manusia menjadi tidak menggunakan masanya secara optimum kerana mereka tidak tahu apa kerja yang important dan apa kerja yang urgent. Mazhab ini berpegang pada prinsip: Jangan ajar peserta mengurus masa, sebaliknya ajar peserta mengurus kerja. Jadi, latihan-latihan dan aktiviti-aktiviti dalam kursus penganut mazhab ini sangat berbeza.

Semasa seseorang trainer mengendalikan sesi trainingnya, dia boleh mengamalkan beberapa mazhab serentak. Sebagai contoh, dalam prosedur menjalankan kursus dia mungkin berpegang pada mazhab-mazhab:

Contoh mazhab training:
1. Tidak menggunakan power point sama sekali.
2. Tidak mengamalkan dasar melucutkan jawatan-jawatan peserta.
3. Tidak menggunakan perkataan 'SALAH' dan 'BETUL' apabila memberi feedback.

Contoh mazhab modul: Bukan mengurus masa, tetapi mengurus kerja.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Trainer Tidak Perlu Muncul pada Sesi Trainingnya dengan Imej Seorang 'Star'


Kemunculan selebriti-selebriti motivasi di skrin televisyen meninggalkan kesan pengaruh yang mendalam ke atas individu yang mempunyai hasrat mahu menceburi industri training.

Mereka menyangka jika mereka mahu menjadi trainer yang berjaya maka mereka perlu mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dimiliki oleh selebriti-selebriti motivasi yang kerap muncul dalam skrin televisyen itu dan menjadi popular.

Mereka menyangka mereka mesti memiliki wajah yang cantik dan tampan, mesti tidak malu bercakap kepada lensa kamera, mesti petah berkata-kata, dan lain-lain kualiti selebriti.

Selebriti adalah 'star', mereka adalah bintang. Mereka muncul di skrin televisyen bagi memperkenalkan diri mereka kepada audiens umum. Kemunculan mereka membantu stesen televisyen mendapatkan penonton. Jumlah penonton menentukan jumlah tajaan iklan yang diperoleh oleh stesen televisyen.

Dalam dunia bisnes training, trainer-trainer yang menerima bayaran tinggi dari pelanggan tidak muncul di skrin televisyen.

Trainer profesional hidup selesa kerana dia dapat menyampaikan dengan efektif perkhidmatan training dalam bidang-bidang yang diperlukan oleh pelanggannya. Dia tidak perlu tampil sebagai seorang star, tidak memerlukan props, tidak perlu berlakon menjadi ala-ala bintang televisyen.

Trainer yang laku dalam pasaran adalah trainer yang menawarkan modul-modul yang memenuhi keperluan pelanggannya.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.



Bagaimana Trainer Dapat Keluar daripada Gaya Hidup Bagaikan Penyanyi Kelab Malam


Banyak trainer menjalankan bisnes mereka sama seperti penyanyi kelab malam menjalankan bisnesnya. Persamaan yang paling ketara antara trainer dan penyanyi kelab malam adalah pendapatan mereka sangat bergantung kepada kesihatan diri mereka.

Jika seandainya penyanyi kelab malam demam batuk, akibatnya pada malam itu dia tidak dapat menyanyi, lalu dia tidak menerima bayaran. Demikianlah juga halnya dengan majoriti trainer, jika dia demam maka dia tidak dapat menjalankan sesi training, lalu dia tidak mendapat yuran.

Trainer yang menjadi seperti penyanyi kelab malam adalah trainer yang menjadikan dirinya sebagai produk yang dijual kepada pelanggan. Pelanggan membeli dirinya bersama-sama dengan modul training yang disampaikannya, padahal diri dan modul adalah 2 entiti yang dapat dipisahkan.

Faktor yang menyebabkan trainer beroperasi seperti penyanyi kelab malam adalah:

1. Modul trainingnya tidak dituliskan dalam bentuk modul yang formal. Modul itu berada di dalam memorinya seorang sahaja. Hanya dia seorang yang tahu apa yang ada dalam modulnya.

2. Modulnya berubah-ubah, tidak dalam bentuk yang standard. Kepada lain pelanggan, lain modul yang disampaikannya. Malah kepada pelanggan yang sama pun modulnya boleh berubah-ubah. Kepada lain kumpulan peserta, lain kandungan modulnya.

3. Trainer tidak memisahkan dirinya sebagai trainer yang menyampaikan modul dengan modul training yang disampaikannya. Jadi pelanggan terpaksa membeli 2 dalam 1.

4. Trainer menjadikan dirinya sebagai elemen utama, malah elemen unik, pada modulnya. Jika pelanggan mahukan modulnya, pelanggan terpaksa membeli diri si trainer sebagai penyampai modul itu.

5. Trainer menjadikan dirinya sebagai 'star' di mana modul itu dibeli oleh pelanggan sebab mereka meminati diri si trainer.

Mengendalikan bisnes training dengan gaya seorang penyanyi kelab malam adalah berisiko. Ia umpama pepatah 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Sepanjang hayatnya trainer perlu bekerja. Jika dia berhenti bekerja, pendapatannya pun terhenti.

Jalan keluar daripada risiko terus hidup umpama penyanyi kelab malam adalah dengan membangunkan harta intelek modulnya dalam bentuk dokumen-dokumen formal yang dapat dilesenkan kepada pihak kedua. Dengan itu, meskipun trainer demam batuk teruk, modulnya masih dapat disampaikan oleh trainer-trainer lain. Dengan cara ini trainer mempunyai sumber pendapatan pasif.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.


Apakah Ada Jalan Pintas bagi Menjadi Trainer dan Pakar Bidang


Bagi memasuki pasaran training, seseorang itu memerlukan 2 jenis ilmu dan kepakaran:

1. Ilmu dalam subjek yang akan dijadikan modul training.

Banyak bidang training tidak memerlukan ijazah dalam bidang berkenaan. Kita hanya perlu belajar dan mendalami bidang itu secara informal. Sebagai contoh, ilmu berkenaan strategi negosiasi.

2. Ilmu dan kemahiran tentang bidang training itu sendiri.

Sebagai contoh, ilmu dan kemahiran mendesain modul training yang efektif. Ilmu ini dapat dipelajari dengan membaca serta mengikuti kursus.

Menjadi trainer dalam bahasa Melayu adalah penuh dengan pelbagai peluang bisnes yang baik. Ini kerana pasaran sangat kekurangan trainer dalam bahasa Melayu yang menawarkan kursus teknikal yang bermutu tinggi. Persaingan bagi sesetengah modul adalah tidak wujud sama sekali!

Kepakaran dalam sesuatu ilmu dan skill dapat diperoleh dengan bacaan. Ambil sebagai contoh, kita berminat menjadi trainer dalam bidang negosiasi atau berunding.

Langkah pertama adalah membeli sekitar 10 buku tentang strategi berunding. Kemudian kita baca dan telaah kandungan buku-buku itu sehingga kita betul-betul sudah mengetahui pelbagai aspek tentang strategi dan taktik pelbagai jenis perundingan.

Langkah kedua adalah dengan menghadiri kursus negosiasi yang dikendalikan oleh trainer komersial dalam bahasa Inggeris. Tujuannya adalah bagi mendedahkan diri kita kepada bagaimana trainer lain mengendalikan trainingnya. Ini disebut 'understudy'. Tengok bagaimana trainer lain menjalankan training dan cuba tiru mana yang baik bagi ditiru. Kaji juga bahan-bahan yang digunakan.

Seterusnya, berdasarkan ilmu perundingan yang sudah kita miliki itu kita desain modul untuk kursus berunding dan mulalah memasarkannya.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Trainer Tidak Boleh Menunjuk-nunjuk Bahawa Dia Lebih Pandai Daripada Peserta


Pemain-pemain baru dalam bisnes training cenderung khuatir seandainya ada pesertanya tidak menaruh kepercayaan tinggi kepada dirinya, iaitu bahawa dirinya adalah seorang yang layak mengendalikan sesi training. Kekhuatiran itu mendorong si trainer melakukan kesilapan-kesilapan berikut:

1. Tampil dengan memakai pakaian yang kononnya membuktikan dia seorang yang berpelajaran tinggi, profesional, dan lebih hebat daripada peserta-pesertanya.

2. Datang dengan memandu kereta yang baru dan mahal, kononnya sebagai bukti dia seorang trainer yang berjaya dalam pasaran, oleh itu dia banyak duit dan mampu membeli kereta itu.

Memandu kereta mahal boleh mencipta risikonya sendiri. Ada pegawai kerajaan memberitahu, apabila dia melihat motivator datang ke pejabatnya dengan memandu kereta mahal dia berasa motivator itu telah over-charge pelanggannya.

Kereta mahal juga boleh mencipta pengharapan yang lebih tinggi dari hadirin yang datang mendengar dia bercakap. Orang mengaitkan kereta mahal dengan kehebatan si pemiliknya. Apabila dia bercakap perkara-perkara yang tidaklah sehebat mana bunyinya, hal itu tidak memenuhi pengharapan hadirin, lalu mencipta perasaan kecewa dan terpedaya.

3. Dalam sesi training dia terlebih bercakap, terlebih menerangkan topik, kononnya isi percakapannya yang banyak dapat membuktikan dia seorang yang mempunyai banyak maklumat, oleh itu ilmunya tinggi dalam topik yang disampaikannya. Tetapi semakin banyak dia bercakap, semakin nampak bahawa dia bukan pakar dalam bidang yang dipercakapkannya.

4. Dia bercakap kepada peserta menggunakan gaya bahasa yang menggurui peserta, seolah-olah dia guru sedang mengajar. Gaya bahasa menggurui terkeluar sendiri apabila seseorang itu bercakap dengan agenda tersembunyi mahu menunjukkan dirinya lebih pandai, lebih tahu, dan lebih layak daripada peserta.

Bukti bahawa seseorang itu layak menjadi trainer adalah:

1. Dia memiliki ilmu, informasi dan skill-skill yang diperlukan oleh peserta.

2. Modul trainingnya bermutu profesional.

3. Di hadapan peserta dia membawa diri sebagai seorang pakar bidang.

4. Apabila ditanya, jawapannya betul, pendek dan tepat.

5. Di bawah bimbingannya, peserta dapat menguasai skill-skill baru dengan cepat.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Patutkah Trainer Memenuhi Permintaan Pelanggan yang di Luar Profesion Training


Dalam bisnes training berbahasa Melayu, lebih 90% pendapatan adalah daripada yuran yang dibayar oleh kementerian, jabatan, agensi kerajaan, yayasan dan syarikat-syarikat milik kerajaan atau GLC. Disebabkan faktor ini hampir 100% peserta kursus dan training adalah terdiri daripada keturunan Melayu dan Islam.

Mahu tidak mahu sosiologi dan budaya masyarakat Melayu mengenakan tempiasnya kepada syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan training. Salah satu jenis tempias itu adalah dalam bentuk permintaan pelanggan dan peserta yang sebenarnya berada di luar bidang training.

Sebagai contoh, ada pelanggan yang membuat permintaan yang datang dari sistem kepercayaan orang Melayu berkaitan dengan alam ghaib. Pengetahuan alam ghaib adalah di luar bidang training kerana bidang training adalah suatu cabang sains kemanusiaan.

Sebagai contoh, ada pengendali program training yang diminta supaya mengubati gangguan makhluk halus ke atas peserta. Ada juga peserta yang meminta pengendali training supaya membuat air doa penerang hati untuk anak mereka yang akan mengambil peperiksaan.

Ada pula permintaan dari ketua-ketua yang mahukan supaya trainer mengadakan aktiviti khusus di mana orang bawahannya yang bermasalah dapat dihukum dalam aktiviti itu. Sebagai contoh, ketua kepada orang bawahannya yang bermasalah mahu supaya pengendali kursus menjalankan aktiviti mengkafankan mayat, dan supaya orang bawahannya itu dijadikan mayat.

Sekiranya pengendali training memenuhi permintaan pelanggan yang seperti itu, ia menyalahi disiplin profesion training.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

Trainer Wajib Memiliki Skill yang Mahu Dipindahkan kepada Peserta


Salah satu kriteria yang melayakkan seseorang memasuki bisnes training adalah dia memiliki SKILL atau kemahiran yang diperlukan oleh pelanggannya. Sebagai contoh, pelanggan memerlukan modul latihan yang dapat menjadikan stafnya lebih mahir berfikir secara kreatif, supaya mereka dapat lebih cekap menyelesaikan masalah secara kreatif.

Jika seseorang itu hanya memiliki ilmu yang dapat dibaca dalam buku-buku teks, maka dia layak menjadi pensyarah. Dia hanya layak mengajarkan isi kandungan dalam buku-buku teks itu. Dia tidak layak menjadi trainer kerana trainer dikehendaki supaya dia memindahkan skill berfikir secara kreatif kepada trainee-traineenya.

Objektif sesi training adalah memindahkan skill dari trainer kepada trainee. Bagi memindahkan skill dari trainer kepada trainee, diperlukan metodologi. Modul training adalah sebahagian daripada metodologi itu.

Modul training yang betul dapat membantu trainer memindahkan skill dengan cepat dan berkesan. Jadi, pengetahuan berkenaan metodologi dan ciri-ciri desian modul training yang efektif adalah pengetahuan asas yang wajib dimiliki oleh seseorang trainer.

Bercakap-cakap tidak dapat memindahkan skill. Ceramah tidak dapat memindahkan skill. Ceramah memindah informasi yang tersimpan dalam memori si penceramah kepada pendengar ceramahnya.Dengan mendengar seorang coach menyampaikan ceramah berkenaan teknik-teknik bermain bola, si kaki bangku takkan pandai bermain bola.

Dalam sesi training menghias kek pengantin, sebelum menjalani training para peserta tidak mahir membuat hiasan kek pengantin yang bertingkat-tingkat. Selepas menjalani sesi training barulah dia mula dapat menghasilkan hiasan kek seperti itu. Hanya trainer yang memiliki kemahiran menghias kek pengantin yang bertingkat-tingkat dapat memindahkan kemahiran yang ada pada dirinya kepada mereka yang mengikuti sesi latihannya.

Orang mempunyai banyak maklumat tidak layak menjadi trainer, melainkan dia juga mempunyai skill yang mahu dipindahkan kepada peserta. Pada masa ini banyak pemain dalam industri training yang mengaku diri mereka adalah trainer dalam bidang di mana mereka tidak memiliki skillnya. Sebaliknya mereka hanya mempunyai pengetahuan sahaja. Sebagai contoh, mereka memiliki ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan, tetapi mereka tidak pernah menguruskan perniagaan sendiri, namun mereka berani muncul sebagai trainer dalam program keusahawanan. Akibatnya mereka berceramah menerangkan perkara-perkara yang dapat dibaca di dalam buku-buku teks kolej.

Risiko menjalankan sesi training dalam bidang di mana kita tidak memiliki skillnya adalah kita membunuh masa hadapan kita sendiri dalam bidang training. Pelanggan kita yang tidak puas hati akan bercakap kepada rakan-rakan se-profesion mereka tentang buruknya kualiti training yang kita jalankan.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.


Perlukah Trainer Kerap Muncul di Skrin Televisyen


Personaliti yang kerap muncul di skrin televisyen berpeluang menjadi sangat terkenal. Banyak orang mengenali mereka, oleh itu nama dan wajah mereka menjadi popular.

Perlukan trainer kerap muncul di skrin televisyen?

Orang awam yang tidak berkecimpung dalam industri training kerap menyangka personaliti yang kerap muncul di skrin televisyen tentulah kaya, banyak duit, selalu menerima undangan dan dibayar dengan bayaran tinggi.

Sangkaan seperti itu mendorong banyak pemain baru dalam sektor ini berusaha muncul di skrin televisyen.

Dalam industri training, syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan training yang menerima cek-cek besar bukanlah syarikat yang memiliki personaliti yang kerap muncul di skrin televisyen.

Kriteria bagi mendapatkan yuran tinggi ada pada 'value propositions' yang ditawarkan dalam modul yang disampaikan sepanjang sesi training dijalankan.

Senarai  'value propositions' itu perlu dinyatakan dengan jelas pada proposal yang dihantar kepada pelanggan.

------
Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.


Plus Minus Menjadi Motivator Popular di Skrin Televisyen


Banyak orang muda yang sangat ingin menjadi motivator popular seperti motivator-motivator yang kerap muncul di kaca televisyen. Mereka yakin menjadi motivator yang popular juga bermakna dapat hidup mewah kerana boleh menikmati yuran kemunculan yang jauh lebih tinggi daripada motivator yang tidak popular.

Apakah keuntungannya menjadi motivator yang popular, yang kerap muncul di kaca televisyen?

1. Banyak menerima undangan ceramah di sana-sini.

2. Seronok sebab dikenali banyak orang, dan apabila hadir di majlis-majlis sosial diberi layanan istimewa oleh tuan rumah.

3. Seronok juga sebab banyak permintaan orang mahu ambil foto bersama.

Apakah kerugiannya?

1. Orang yang menonton kita bercakap memberi kata-kata motivasi di kaca TV mempunyai persepsi bahawa kita adalah seorang yang sangat baik serba-serbi, sempurna luar dalam, tidak pernah buat silap langsung, rendah sedikit daripada taraf wali! Persepsi mereka itu menjadi punca tekanan psikologis ke atas diri kita. Kita tertekan supaya menjaga imej baik kita itu dengan berlakon menjadi orang baik pada setiap saat apabila berada di luar rumah.

2. Disebabkan mereka menyangka kita seorang yang sangat baik, sangat mulia hati, langsung tidak materialistik, sentiasa ikhlas, semuanya kerana Allah, maka mereka terkejut dan amat kecewa apabila kita sebut yuran ceramah kita sekian, sekian ringgit!

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

.

Perlukah Trainer Belajar Menjadi Entertainer Juga?


Pada masa ini seni menjadi entertainer, atau penghibur, sudah digunakan oleh banyak individu yang kerjaya mereka melibatkan kerja-kerja naik ke pentas, berdiri di rostrum, memegang mikrofon ataupun bercakap di hadapan kamera. Sehingga personaliti agama pun mula belajar seni bercakap bagi tujuan memberi unsur entertainment kepada audiens.

Unsur entertainment yang paling popular digunakan adalah humor ataupun lawak kecil. Jadi, kita dapat lihat sekarang ini bagaimana personaliti agama juga sudah belajar membuat sedikit-sedikit lawak kecil apabila mereka menyampaikan ceramah.

Situasi ini menyebabkan mereka yang sedang berfikir-fikir mahu menceburi industri training menjadi ragu-ragu apakah mereka perlu belajar sedikit sebanyak menyelitkan unsur entertainment apabila menjalankan sesi training.

Dalam sesi training, humor boleh muncul dari 2 sumber: Trainer boleh memberi unsur humor. Peserta juga boleh menghasilkan humor.

Sebagai trainer, tidak semua unsur humor bagus untuk bisnes kita. Ada pengurus jabatan latihan yang tidak suka apabila trainer banyak menghasilkan sesi ketawa semasa training sedang dijalankan. Peserta mungkin seronok bergelak ketawa, tetapi pengurus jabatan latihan mungkin tidak suka!

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.


Model Bisnes Training yang Tidak Sustainable


Banyak trainer Melayu menjalankan bisnes mereka menggunakan model bisnes yang tidak sustainable. Mereka beroperasi secara one-man-show.

Sebagai seorang trainer, dialah yang mencipta modul, dia yang menyediakan nota, dia yang menyampaikan modul, dia juga yang membuat marketing, dia juga yang membuat sale, dan dia juga yang menagih hutang, dan serba-serbi kerja lain.

Jika dia mempunyai pejabat dengan seorang ataupun dua orang pegawai, dia juga menjadi pengurus besar syarikat kecilnya, dia juga menjadi kerani kewangan yang membayar gaji, malah dia juga menjadi pembersih bakul sampah di pejabat!

Model bisnes one-man-show adalah tidak sustainable, yakni tidak lestari, tidak dapat bertahan lama. Model ini akhirnya menyebabkan bisnesnya tidak dapat berkembang, pelanggannya berkurangan, dan lama-kelamaan bisnesnya menguncup, lalu akhirnya tutup. Kes seperti ini sudah banyak berlaku. Personaliti yang popular boleh secara perlahan-lahan terkeluar dari pasaran.

Dengan menggunakan model bisnes one-man-show si trainer sibuk dengan pelbagai kerja rutin, akibatnya:

1. Dia tiada masa hendak menambahkan nilai-nilai baru kepada dirinya sebagai seorang pakar.

2. Dia tiada masa membaca buku-buku terbaru, akibatnya ilmunya ketinggalan zaman.

3. Dia tiada masa mengikuti kursus-kursus yang dijalankan oleh trainer-trainer lain di dalam dan di luar negara bagi mendapatkan kemahiran-kemahiran baru. Tanpa menguasai kemahiran baru, gaya dia bercakap di hadapan khalayak pun tidak berubah!

4. Disebabkan ilmunya tidak berkembang, dia tidak berupaya membangunkan produk-produk baru yang sesuai dengan perubahan kehendak pasaran. Dia terus menawarkan produk originalnya sahaja, yang tidak diperbaiki mutunya, sedangkan trend pasaran sudah berubah.

6. Banyak pemain baru memasuki pasaran dengan menawarkan produk-produk inovatif. Dia akan kalah kepada pemain-pemain baru itu.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.


Salah Sangka dalam Kalangan Pemain Baru tentang Industri Training


Semenjak 10 tahun yang lalu banyak lulusan universiti yang masih amat muda, pada usia kurang 30 tahun, ikut menceburi industri ini dengan menubuhkan syarikat training dan konsultan.

Secara amnya ciri-ciri pemain baru dalam golongan ini adalah:

1. Majoriti mereka adalah lepasan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Universiti Malaya (UM). Berbanding universiti lain, persatuan-persatuan mahasiswa UM dan UIAM paling aktif melahirkan kumpulan mahasiswa yang bersemangat mahu menjadi trainer dan konsultan.

2. Mereka pernah menjadi anggota majlis perwakilan pelajar, dan persatuan-persatuan Islam di universiti, dan aktif dalam kumpulan-kumpulan usrah sejak di kampus lagi.

3. Semasa dalam persatuan, mereka banyak terlibat dalam program-program kem motivasi yang dianjurkan oleh persatuan, di mana mereka menjadi fasilitatornya.

4. Pengalaman mereka adalah dalam program sesama pelajar, di mana mereka sebagai pemimpin pelajar memotivasi pelajar-pelajar lain. Dalam program-program itulah mereka belajar bercakap dan mendapat keyakinan mereka mempunyai bakat menjadi trainer, motivator dan konsultan.

5. Majoriti mereka adalah dari fakulti pengajian Islam  dan mereka menganjurkan kem-kem motivasi Islamik untuk persatuan mereka.

6. Disebabkan mereka sudah berani bercakap dalam program kem-kem motivasi pelajar, dan sudah pernah menjadi fasilitator, mereka menyangka dan yakin kononnya dalam dunia bisnes training sebenar itulah juga bakat dan kebolehan-kebolehan  yang diperlukan oleh sekolah-sekolah dan jabatan-jabatan kerajaan. Sangkaan inilah yang mendorong mereka membuka syarikat training masing-masing.

Apa yang berlaku, mereka memasuki pasaran terbuka dengan berbekalkan keyakinan palsu dan sangkaan-sangkaan yang meleset. Akibatnya selepas setahun ataupun dua tahun, mereka terpaksa mencari pekerjaan. Banyak yang menjadi guru dan pegawai agama.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.



Perlukah Trainer Muncul di Hadapan Peserta Sebagai Orang Serba Tahu?


Perlukah trainer menjawab semua pertanyaan peserta dengan memberikan pendapatnya?

Trainer hanya perlu menjawab apabila pertanyaan itu relevan dengan topik training yang dijalankan. Jawapan itu mestilah jawapan yang berdasarkan ilmu, bukan jawapan agak-agak, bukan pendapat peribadi semata-mata yang tidak disokong oleh alasan keilmuan.

Apabila pertanyaan itu di luar bidang kepakaran kita, katakan kita minta maaf kerana tidak dapat menjawabnya disebabkan kita bukan pakar bidang itu.

Memberi jawapan kepada pertanyaan yang bukan dalam bidang kepakaran kita adalah sangat berisiko. Jawapan kita tidak mungkin tepat. Kita hanya memberi pendapat. Sebagaimana kita mempunyai pendapat, semua peserta juga mempunyai pendapat!

Jika kita mahu menjawab juga, sebut dengan terang dan jelas: "Ini pendapat saya sahaja. Saya bukan pakar bidang itu."

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.


Perlukah Trainer Memiliki Training Room Sendiri?


Meskipun sesi training banyak dijalankan di dalam bilik training, namun apakah perlu syarikat pembekal training mempunyai bilik trainingnya sendiri?

Tidak. Tidak perlu. Kita tidak perlu membuka bilik training sendiri. Kita boleh menyewa kemudahan training dari pihak-pihak lain seperti hotel, pusat konferens, training room milik rakan kita, training room milik pelanggan kita dan lain-lain tempat.

Dari sudut bisnes, membuka training room sendiri adalah tindakan menceburi sektor industri real property, bukan lagi industri training.  Perolehan real property adalah daripada pajakan dan sewaan.

Bilik training kita itu perlu dijadikan profit centre, yakni ia mesti disewakan kepada pihak-pihak lain supaya ia membawa masuk bisnes dan membuat keuntungan. Tanpa sewaan dan pajakan dari pihak lain, maka kita sendiri yang terpaksa memajak training room itu!

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

.

Mulai Tahun ini UPSR dan PMR Ditamatkan. Apa Kesannya ke Atas Bisnes Motivasi Akademik?


Mulai tahun ini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah melaksanakan sistem penilaian terbuka berasaskan sekolah.

Dalam sistem ini murid dan pelajar tidak lagi dinilai melalui peperiksaan yang dijalankan oleh kementerian, seperti UPSR dan PMR. Kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan. Sebaliknya tiap-tiap sekolah menilai prestasi murid dan pelajar masing-masing.

Apabila peperiksaan dimansuhkan, banyak bisnes menerima kesannya:

1. Penerbit buku-buku teks dan ulang kaji hilang bisnes.
2. Pengedar buku-buku ulang kaji hilang bisnes.
3. Kedai buku yang menjual buku-buku ulang kaji hilang bisnes.
4. Pusat-pusat tuisyen mungkin hilang bisnes.
5. Syarikat Skor-A mungkin hilang bisnes.
6. Motivator Skor-A mungkin hilang bisnes.

Perubahan ini memaksa mereka yang hidup dengan bergantung pada sistem peperiksaan cara lama supaya berfikir semula dan melakukan strategi repositioning.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.